Salat Tarawikh, Cara dan Kelebihannya

Hadith riwayat Muslim: Dari Abu Hurairah Radiallahu ‘anhu , Rasulullah telah bersabda: “Barangsiapa yang mendirikan solat tarawih pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu”.

Hukum tarawih adalah sunat muakkad, sebaiknya berjemaah. Waktu solat adalah selepas fardhu Isyak. Jumlah rakaat pada zaman Rasulullah adalah 8 tetapi Khalifah Omar Al-Khattab menambahkan lagi bilangannya menjadi 20. Solat tarawih dilakukan dua rakaat pada setiap takbiratul-ihram. Rukun sembahyang adalah serupa dengan rukun solat yang lain. Bacaan-bacaan sunat sebelum dan/atau selepas tiap-tiap dua rakaat tarawih dan/atau witir.

Solat Sunat Tarawih, ialah solat pada malam bulan Ramadhan. Nama sebenarnya, seperti yang disebut oleh hadis sahih, ialah solat Ramadhan (Qiyam Ramadhan).

Tarawih adalah kata jamak bagi tarwihah, ertinya berhenti rehat. Qiyam Ramadhan ini dilakukan dengan setiap empat rakaat berhenti rehat, maka empat rakaat itu dipanggil satu tarwihah. Kalau sembahyang itu 20 rakaat, maka akan ada lima tarwihah, atau mengikut nahu Arab lima tarawih. Tidak ada hukum untuk berehat. Seseorang boleh sahaja terus sembahyang hingga habis, tanpa berhenti.

Salat sunat tarawih (Qiyam Ramadhan) dilakukan pada malam Ramadhan, secara berjamaah. Solat ini dilaksanakan dengan “berehat-rehat”, kerana ia biasanya dilakukan di masjid secara berjamaah. Maksud berhenti rehat adalah berhenti sekejap. Tujuan solat berehat-rehat untuk mengelakkan ketegangan badan selepas berbuka puasa, disamping memberikan keikhlasan dan ketenangan kepada orang yang sembahyang, khususnya orang yang berumur.

Salat ini digalakkan sebagai cara untuk menghidupkan malam bulan Ramadhan. Nabi menggalakkan orang qiyam Ramadhan, tanpa menjadikannya wajib. Baginda bersabda: “Siapa yang qiyam Ramadhan dengan beriman dan cermat(ihtisaban) akan diampuni dosanya yang lalu.” (Riwayat Jamaah)

Bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat dan diberikan hikmat, antaranya ialah malam diturunkan Quran dan “lailatul qadar”. Solat tarawih dapat menghapuskan segala dosa yang dilakukan oleh seseorang. Solat tarawih ini jika dilakukan pada bulan selain bulan Ramadhan dipanggil solat malam – “solat lail”. Namun solat tarawih lebih utama kerana kedudukannya pada bulan Ramadhan. Solat ini tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi, tetapi cara melakukannya ada kalanya berjamaah di masjid dan ada kalanya tidak.

CARA

Solat sunat tarawih atau qiyam Ramadhan dilakukan selepas solat Isya. Jumlah rakaatnya berbeza-beza antara lapan, dua puluh, tiga puluh dan sebagainya. Terdapat hadis Bukhari dan Muslim mengatakan bahawa Saidatina Aisyah r.anha, isteri Rasulullah s.a.w, melihat baginda bersolat tarawih di rumah lapan rakaat. Dan terdapat amalan sahabat Nabi s.a.w yang pernah menjadi imam solat tarawih pada zaman Nabi, iaitu Ubai bin Kaab r.a, yang mendirikan solat ini 20 rakaat (juga diriwayatkan oleh Bukhari).

Terdapat juga amalan penduduk Madinah melakukan solat tarawih 36 rakaat, dan dalam hadis riwayat al-Baihaqi mengatakan ada sahabat yang solat tarawih 200 rakaat. Mereka berpendapat bahawa salat tarawih (qiyam Ramadhan) adalah nama lain bagi salat mutlak malam (qiyamul lail}. Jika qiyamullail tidak dihadkan jumlah rakaatnya, maka qiyam Ramadhan pun demikian.

Salat sunat Ramadhan lapan rakaat, seperti yang dilihat oleh Aisyah r.anha di rumah, adalah yang minimum. Jumlah ini dipilih oleh segelintir umat Islam. Namun, solat tarawih 20 rakaat menjadi pilihan Imam Shafei, Hanbali dan Hanafi. Alasannya ialah amalan 20 rakaat itu dilakukan oleh Ubai bin Kaab r.a di masjid. Beliau, yang pernah menjadi imam pada zaman Nabi s.a.w, zaman Saidina Abu Bakar r.a dan zaman Saidina Umar r.a, melakukan solat tarawih 20 rakaat, sehingga Saidina Umar r.a pun menetapkan solat tarawih berjamaah di masjid 20 rakaat.

Sebagai hamba kepada Allah yang ingin mengabdi dan berbakti, kita mempunyai pilihan, keupayaan dan kehendak sendiri. Sebabnya, solat tarawih ini ibadat tambahan, dan satu cara untuk menunjukkan kebaktian dan ketaatan kepada Allah, maka Rasulullah s.a.w menyuruh ia dilakukan mengikut kemampuan , keikhlasan dan kerelaan. Sekiranya memadai dengan 8, atau perlu ditambah hingga 20, itu hanyalah pilihan.

Salat tarawih dilakukan dengan setiap dua rakaat satu salam. Setelah membaca bacaan wajib iaitu Fatihah, sunat membaca sebarang ayat atau surah daripada Quran, baik pendek atau panjang, atau berulang-ulang, asalkan bacaan itu betul dan solat ini dibuat dengan cermat. Tidak ada hadis Nabi tentang bacaan surah ini.

Segala bacaan di luar salat, seperti salawat, doa dan periwayatan khalifah tidak termasuk amalan solat tarawih, tetapi hanya selingan antara salat. Tidak ada larangan untuk bersalawat atau berdoa, jika cara dan adab melakukannya baik. Dan ia tidak menjejaskan solat tarawih jika ditinggalkan.

Kalau salat sendirian di rumah, maka bolehlah membaca surah panjang atau ayat Quran sebanyak-banyaknya. Namun bila berjamaah di masjid umum, maka pendapat yang terpilih ialah bacaan imam haruslah ringkas, yang terdiri lima atau enam ayat untuk satu rakaat. Perkara yang perlu dijauhi ketika mendirikan solat sunat, apa jenis solat sunat pun, ialah menjauhkan sikap riya’. Hal ini ditegah Allah: “Celakalah (orang yang solat) yang mereka menunjuk-nunjuk. (al-Ma’un :

Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

“مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.”

“Sesiapa mengerjakan sembahyang malam dalam bulan Ramadhan,  sedang ia beriman serta mengharapkan rahmat Allah Taala, maka ia akan diampunkan dosanya yang telah lalu”
(Hadith Sahih,  riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a. (Sahih Muslim – bi Syarh al-Nawawi, 6:39))
Dan mari kita lihat bagaimana asal mulanya sembahyang Tarawih ini melalui hadith Sahih di bawah:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ لَيْلَةً مِنْ جَوْفِ اللَّيْلِ فَصَلَّى فِي الْمَسْجِدِ وَصَلَّى رِجَالٌ بِصَلَاتِهِ فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا فَاجْتَمَعَ أَكْثَرُ مِنْهُمْ فَصَلَّى فَصَلَّوْا مَعَهُ فَأَصْبَحَ النَّاسُ فَتَحَدَّثُوا فَكَثُرَ أَهْلُ الْمَسْجِدِ مِنْ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى فَصَلَّوْا بِصَلَاتِهِ فَلَمَّا كَانَتْ اللَّيْلَةُ الرَّابِعَةُ عَجَزَ الْمَسْجِدُ عَنْ أَهْلِهِ حَتَّى خَرَجَ لِصَلَاةِ الصُّبْحِ فَلَمَّا قَضَى الْفَجْرَ أَقْبَلَ عَلَى النَّاسِ فَتَشَهَّدَ ثُمَّ قَالَ أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّهُ لَمْ يَخْفَ عَلَيَّ مَكَانُكُمْ وَلَكِنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْتَرَضَ عَلَيْكُمْ فَتَعْجِزُوا عَنْهَا فَتُوُفِّيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَالْأَمْرُ عَلَى ذَلِكَ. (رواه البخاري)

“Dari `Aisyah r.a., katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. – pada suatu malam (dalam bulan Ramadhan) ketika jauh malam telah keluar (1) lalu sembahyang di masjid dengan diikuti oleh beberapa orang lelaki sebagai makmum.  Pada keesokan harinya terhebahlah peristiwa itu diperkatakan orang, lalu mereka berkumpul lebih ramai lagi (pada malam kedua) serta mereka bersembahyanglah bersama-sama Baginda.

Pada keesokan harinya terhebahlah peristiwa itu diperkatakan orang, lalu bertambah ramai orang-orang hadir di masjid pada malam yang ketiga. Rasulullah s.a.w. pun keluar ke masjid lalu sembahyang dengan diikuti oleh sidang jamaah.

Setelah sampai malam yang keempat, penuh sesaklah masjid dengan sidang jamaah (tetapi Baginda tidak datang) sehinggalah Baginda keluar ke masjid untuk mengerjakan sembahyang subuh.  Setelah selesai sembahyang, Baginda mengadap orang ramai lalu (memulakan ucapannya dengan memuji Allah Taala dan) mengucap syahadah, kemudian Baginda (menerangkan sebabnya Baginda tidak datang ke masjid untuk mengerjakan sembahyang tarawih bersama), sabdanya:

“Amma Ba’du, sebenarnya tidak terlindung kepada Aku tentang kedudukan kamu (sebagai orang-orang yang taat dan suka berbuat kebajikan), tetapi Aku bimbang bahawa (sembahyang tarawih) itu

akan difardhukan atas kamu(2), maka dengan itu kamu tidak terdaya mengerjakannya.”

(Imam al-Zuhri, salah seorang rawi hadith ini berkata): “Maka wafatlah Rasulullah S.A.W sedang perkara (sembahyang tarawih) itu berkeadaan demikian” (tidak dikerjakan dengan berjamaah).(3)

(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari)

Semenjak itu sembahyang tarawih tidak dikerjakan dengan berjamaah di masjid tetapi masing-masing mengerjakannya dengan bersendirian, sama ada di rumah atau di masjid.

Rujukan:
(1) Rumah Baginda s.a.w. berdekatan dengan masjid.
(2) Yakni Baginda bimbang akan turunnya wahyu yang mewajibkannya. Dalam sebuah hadith yang lain Baginda menyuruh orang ramai supaya mengerjakan sembahyang sunat pada waktu malam di rumah masing-masing.
(3) Fath al-Bari (5:158)

Kemudian, situasi ini berjalan terus sehinggalah ke zaman Saidina Umar R.A, barulah sembahyang tarawih itu dikerjakan dengan berjamaah di masjid menurut seorang imam yang telah dilantik oleh Saidina Umar sendiri seperti yang diterangkan dalam hadith yang berikut:

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَبْدٍ الْقَارِيِّ قَالَ خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلَاتِهِ الرَّهْطُ فَقَالَ عُمَرُ إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلَاءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ لَكَانَ أَمْثَلَ ثُمَّ عَزَمَ فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلَاةِ قَارِئِهِمْ قَالَ عُمَرُ نِعْمَ الْبِدْعَةُ هَذِهِ. (رواه البخاري)

“Dari Abdul Rahman bin Abd al-Qari, katanya: Pada suatu malam dalam bulan Ramadhan,  saya mengiringi Umar bin al-Khattab ke masjid,  tiba-tiba (kami) dapati orang ramai (di situ) berpecah-pecah kepada beberapa kumpulan yang berasingan, ada orang yang sembahyang seorang diri, ada pula yang sembahyang lalu diikuti oleh beberapa orang.

(Melihatkan yang demikian) Saidina Umar berkata:  “Aku fikir, kalau aku kumpulkan mereka ini semuanya berimamkan seorang imam,  tentulah amalan itu amatlah baiknya.”

Kemudian ia mengambil keputusan lalu mengumpulkan mereka semuanya berimamkan Ubai bin Kaab.

Setelah itu, saya mengiringi Saidina Umar pada suatu malam yang lain (pergi ke masjid), (pada ketika itu) orang ramai sedang sembahyang berimamkan imam mereka (yang tersebut).

(Melihatkan yang demikian) Saidina Umar berkata:  “Amalan ini satu perbuatan bid’ah yang baik …”(1)

(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari)

Menurut huraian ulama’ rahimahullah, bahawa kalimah “bid’ah yang baik” yang disebutkan oleh Saidina Umar r.a., ialah arahannya mengenai “sembahyang tarawih dengan berjamaah” setelah ia menjadi khalifah Islam.

Dalam hadith ini diterangkan: Pada suatu malam Saidina Umar bersama-sama dengan seorang pengiringnya telah pergi ke masjid Nabi s.a.w. di Madinah,  lalu dilihatnya orang ramai sedang mengerjakan sembahyang tarawih dengan berpecah-pecah kepada beberapa kelompok di sana-sini. Ada yang sembahyang seorang diri, ada dua tiga orang yang menurut seorang imam dan ada pula yang lebih daripada itu menurut imam yang lain.

Melihatkan yang demikian, Saidina Umar pun mengarahkan mereka semuanya supaya menurut seorang imam yang dilantik olehnya mulai malam itu dan supaya mereka meneruskannya di sepanjang-panjang bulan Ramadhan.

Menurut huraian ulama’ Saidina Umar R.A,(2) bertindak demikian setelah ia berijtihad dan beristinbat berdasarkan amalan Rasulullah s.a.w.

Pertama – Rasulullah s.a.w. pernah mengerjakan sembahyang tarawih dengan berjamaah di masjid.

Kedua – Sungguhpun Baginda mengerjakannya dengan berjamaah selama tiga malam sahaja lalu memberitahu kepada orang ramai supaya masing-masing mengerjakannya dengan bersendirian di rumah dan Baginda sendiri juga mengerjakannya di rumah sehingga akhir hayatnya – tetapi Baginda telah menerangkan sebabnya kepada umum iaitu Baginda “bimbang akan turun wahyu yang mewajibkan sembahyang tarawih itu” jika Baginda terus menerus mengerjakannya dengan berjamaah di masjid bersama sama dengan mereka.

Berdasarkan hakikat inilah Saidina Umar r.a., berijtihad mengarahkan supaya sembahyang tarawih dikerjakan semula dengan berjamaah, kerana perkara yang dibimbangkan oleh Rasulullah s.a.w. dahulu tidak akan berlaku. Kerana setelah Baginda wafat, tidak akan turun wahyu lagi – yang mewajibkannya.

Saidina Umar mengaku bahawa arahannya itu “bid’ah” tetapi ia “bid’ah yang baik” (bid’ah hasanah) kerana dapat menyatupadukan umat Islam dan kerana itulah ia diterima dengan ijma’ oleh sahabat-sahabat Nabi yang ada pada zamannya serta diwarisi oleh umat Islam turun temurun.”

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s